Wednesday 19 December 2012

Kata Tugas


Kata tugas ialah satu kelompak perkataan yang kehadirannya dalam ayat penting kerana tugas-tugas sintaksis. Kata tugas hadir dalam ayat, sama ada di bahagian hadapan ayat, di bahagian hadapan frasa, atau di belakang perkataan-perkataan tertentu untuk memberikan makna khusus atau memainkan peranan sintaksis tertentu dalam ayat bekenaan.

Jenis-jenis katu tugas dan contoh ayatnya:

A         Kata Hubung
            1          Ali, Ahmad dan  Halim pergi ke sekolah.
            2          Aslinda menari sambil bernyanyi.
            3          Dia rajin tetapi adiknya malas.
B         Kata Seru
            1          Aduh, sakitnya tanganku!
            2          Aduhai, apalah malang nasibku ini!
            3          Ah, aku tidak bersetuju!
C         Kata Tanya
            1          Bilakah ayah bertolak ke Singapura?
            2          Bagaimanakah keputusan peperiksaan PMR anak anda?
            3          Mengapakah budak itu menangis?
D         Kata Bantu
            1          Pekerja itu telah pulang.
            2          Kami pernah ke Pulau Pinang.
            3          Kanak-kanak itu sudah makan.
E          Kata Penguat
            1          Pakaian seragam pasukan pengakap itu amat kemas.
            2          Bas itu tiba lambat benar.
            3          Masakan ibu paling sedap.

Friday 30 November 2012

Kata Majmuk Berbentuk Mantap

Kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu  perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut mengandungi dua kata dasar, akan dieja sebagai satu perkataan sahaja. Kata majmuk yang dieja rapat adalah seperti jadual berikut:

        
apabila
antarabangsa
apakala
beritahu
barangkali
bumiputra
daripada
bagaimana
dinihari
darihal
dukacita
kakitangan
kerjasama
kepada
kadangkala
matahari
manakala
olahraga
peribadi
padahal
peribahasa
jawatankuasa
perikemanusiaan
setiausaha
sukarela
sukacita
suruhanjaya
tanggungjawab
tandatangan
haribulan
pesuruhjaya
walhal
warganegara

Friday 16 November 2012

Bentuk Kata Majmuk

Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain, misalnya pasar untuk raya.

Dalam bahasa Melayu, bentuk kata majmuk boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
(i)    Rangaian Kata Bebas
       contohnya:
                         pasar raya
                         nasi ayam
                         terima kasih
                         bandar raya
                         tengah malam
                         hijau muda
                         bahan bakar
                       
(ii)   Istilah Khusus
       contohnya:
                         papan kekunci
                         reka bentuk pengajaran
                         lut sinar
                         pita suara
                        hak milik kekal

(iii)  Simpulan Bahasa
       contohnya:
                         telinga kuali
                         hati batu
                         lepas tangan
                         buaya darat
                         harga mati


                             

Saturday 27 October 2012

Pengajaran Bahasa Melayu Dengan Strategi Kontekstual

Pengenalan


Perkembangan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau juga dikenali sebagai bidang ICT di Malaysia telah membawa banyak perubahan kepada pelbagai industri khususnya dalam membantu manusia melancarkan perjalanan sesuatu bidang tugas. Pembangunan kepesatan bidang ICT di Malaysia telah menjadikan produktiviti tenaga kerja telah meningkat dalam pelbagai bidang seperti industri pembinaan, perkilangan, automotif dan sebagainya. Kemajuan dan pembangunan ICT juga telah mendorong Malaysia untuk memperkenalkan Malaysia Super Coridor (MSC) yang berperanan membentuk dan membangunkan pelbagai teknologi semasa dunia selaras dengan keperluan dan keadaan semasa. 

Selain daripada kelebihan yang diperolehi oleh pelbagai bidang kesan daripada kemajuan dan pembangunan ICT dunia, industri pendidikan juga tidak terlepas daripada menerima impak positif kesan daripada kemajuan ICT ini. Sistem pengajaran tradisional yang lebih menekankan kepada pembelajaran berasaskan buku teks dan penerangan pada papan tuls telah ditukar kepada penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar yang dilihat lebih efektif dalam menyediakan pelajar kepada suatu ilmu pengetahuan yang lebih bermanfaat dan berguna kepada mereka. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pembelajaran secara terancang, berfikrah, tersusun dan bersesuaian berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran.  Penggunaan ICT ini membolehkan pembelajaran kendiri dan meningkatkan motivasi serta memberi peluang yang sama terhadap semua pelajar yang mempunyai pelbagai keupayaan.  Ini menjelaskan kepentingan penggunaan komputer, internet dan perisian produktif untuk tujuan penyelidikan, pengumpulan maklumat dan berkomunikasi perlu digalakkan terutama di kalangan guru (Hizral Tazzrif Hashim, 2002).

Strategi Kontekstual

Pengajaran secara kontekstual ialah proses pengajaran guru yang mengaitkan ilmu yang dipelajari dengan pengalaman seharian perseorangan, masyarakat dan dunia pekerjaan. Pengajaran ini melibatkan perkongsian pemikiran dan pengalaman guru untuk memberi kefahaman kepada pelajar kerana proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri melibatkan pelajar, pengajar dan bahan pengajaran. Selain daripada itu, pengajaran ini juga menghubungkan isi pelajaran dengan dunia sebenar, proses interaksi antara pelajar dengan pelajar yang lain serta menjadikan situasi pengajaran di kelas sebagai simulasi kepada tempat kerja. Pelajar juga disediakan dengan aplikasi amali untuk dipelajari (Hull D., 1995).

Teori Pembelajaran Kontekstual menumpukan kepada kepelbagaian aspek persekitaran pembelajaran sama ada di bilik darjah, makmal, tempat kerja atau kehidupan seharian. Teori ini menggalakkan pendidik memilih atau mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangkumi pelbagai pengalaman sama ada dalam konteks sosial, budaya, fizikal atau psikologi untuk mendapatkan hasil pembelajaran yang dihasratkan. Pendekatan kontekstual penting kerana:-


# Kebanyakan pelajar belajar dengan berkesan melalui pengalaman penglibatan peribadi, aktiviti hands-on dan peluang untuk penemuan kendiri.

# Pembelajaran lebih bermakna apabila konsep disampaikan dalam konteks hubungan yang tidak asing kepada pelajar.

# Kebanyakan pelajar belajar dengan lebih berkesan melalui komunikasi interpersonal, belajar dalam kumpulan, berkongsi maklumat, saling membantu dan maklum balas yang positif.

# Pemindahan pembelajaran dari satu situasi ke situasi yang lain adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari.


Pembelajaran secara Kontekstual dapat membina keyakinan diri kerana murid dapat memahami perhubungan antara teori dan amalan. Pembelajaran secara Kontekstual juga membina pendekatan kerja kumpulan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sekolah dapat memainkan peranan sebagai penghubung antara akademik dan alam pekerjaan dan dengan itu mendapat sokongan dan dokongan industri. Pendekatan Kontekstual dapat membina asas kukuh tenaga kerja mahir masa depan untuk menguatkan kedudukan negara di peringkat dunia.

Selain itu, pengajaran dan pembelajaran secara kontekstual membolehkan guru memahami, menguasai dan menggunakan pendekatan kontekstual dalam pengajaran dan pembelajaran. Kefahaman para guru adalah penting kerana guru mampu menyampaikan pembelajaran dengan berkesan dan menepati konsep kontekstual. Kontekstual ialah suatu kaedah yang dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri iaitu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan atau relevan bagi mereka, dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka. Di sekolah pelajar tidak mampu membuat kaitan antara apa yang mereka pelajari dengan bagaimana pengetahuan itu dapat dimanfaatkan. Pelajar tidak didedahkan kepentingan mempelajari sesuatu matapelajaran, mereka hanya diarahkan untuk belajar kerana merupakan salah satu daripada matapelajaran peperiksaan. 

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh cara mereka memproses maklumat dan perasaan motivasi untuk pelajar tidak tersentuh melalui kaedah pengajaran yang lazim digunakan (iaitu kaedah syarahan yang abstrak). Kaedah pengajaran lazim juga perlu difahami kerana konsep itu akan memudahkan mereka mengaitkannya dengan suasana dan juga dalam menempuh kehidupan masyarakat di mana tempat mereka menjalani kehidupan dan bekerja. Secara lazimnya, pelajar dijangkakan mampu membuat kaitan ini dengan sendiri apabila berada di luar bilik darjah.

Dalam proses pembelajaan kontekstual, murid akan melalui ciri-ciri pembelajaran kontekstual seperti di bawah :

Rajah 1 : Proses “REACT” dalam pembelajaran secara kontekstual.

Kaedah Pengajaran secara kontekstual menurut Hull D.(1997) mempunyai ciri-ciri yang perlu dilaksanakan agar pengajaran lebih berkesan. 

Ciri yang pertama ialah guru menghubungkaitkan pengajaran dalam konteks pengalaman hidup. Guru perlu membantu pelajar memahami tujuan mempelajari sesuatu tajuk dan menghubungkaitkan pengetahuan baru dan pra-pengetahuan pelajar. Menurut Wan Absah bte Wan Kadir (1997) perkara ini akan membolehkan pelajar mendapat gambaran yang jelas tentang perkaitan apa yang dipelajari dengan penggunaan harian dan pelajar mengetahui penggunaan ilmu dalam bidang pekerjaan serta memberi pendedahan kepada pelajar tentang profil pekerjaan.

Ciri yang kedua ialah pengalaman. Dalam pengajaran, guru memberi pendedahan, penemuan dan penciptaan kepada pelajar. Guru dikehendaki melibatkan pelajar secara aktif dalam membuat ujikaji dan menemui idea dan fakta. Ini akan menjadikan pelajar dapat melibatkan diri dengan ujikaji secara menyeluruh dan membentangkan hasil kerja mereka dengan lebih yakin. Dengan itu, pelajar telah memperoleh pengalaman yang berguna dalam pembelajaran di kelas (Wan Absah Wan Kadir,1997).

Ciri yang ketiga dalam pengajaran secara kontekstual ialah aplikasi. Dalam hal ini, guru menyalurkan sesuatu pengajaran kepada pelajar dan pelajar boleh menggunakan maklumat yang ada untuk menyelesaikan masalah yang mungkin dihadapi dalam alam pekerjaan pada masa akan datang. Semasa pengajaran dijalankan, para pelajar didedahkan dengan aktivitaktivit yang membolehkan mereka mengaplikasikan aktiviti dalam kelas dengan aktiviti di luar. Menurut Hungate (1982), ciri-ciri aplikasi dalam pengajaran telah dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam satu-satu mata pelajaran yang diajar.

Ciri yang keempat pula ialah bekerjasama iaitu pengajaran dalam konteks berkongsi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Guru memainkan tugas penting dalam mewujudkan sikap bekerjasama yang baik dalam pengajaran dan menjadikan proses pengajaran lebih aktif dengan mempelbagaikan aktiviti yang melibatkan pelajar (Pedrotti L. S.,1997). Kesannya, membolehkan individu mengenalpasti minat dan keperluan pembelajaran yang unik, perbezaan individu dan pelajar lebih memahami aspirasi kumpulan.

Ciri yang kelima ialah pemindahan pembelajaran iaitu pengajaran dalam konteks penyaluran pengetahuan oleh guru. Guru akan menyalurkan pengetahuan mereka melalui kaedah kaedah yang disarankan dalam kaedah pengajaran secara kontekstual dengan cara timbal balik. Guru akan membimbing pelajar menemui pengetahuan baru melalui penerokaan, pengujian dan mencari jawapan. Kesemua ciri ini dapat dilaksanakan dengan bantuan penggunaan media pengajaran yang berkesan (Hull D., 1997). Pemindahan ini juga akan menyebabkan pelajar lebih mudah membuka peluang sedia ada mereka melalui pelbagai situasi pembelajaran.  Menurut Hull D. (1995), persoalan-persoalan yang timbul dalam sistem pendidikan telah menyebabkan perubahan perlu dibuat. Persoalan-persoalan tersebut ialah adakah sekolah dan industri bekerjasama menyediakan peluang pekerjaan yang luas kepada kebanyakan pelajar? Adakah kebanyakan pelajar menengah dan pusat pengajian tinggi menghargai pendidikan mereka semasa di sekolah? Adakah mereka berpuashati dengan pendidikan yang mereka perolehi selepas tamat persekolahan? Adakah pelajar mempunyai peluang seluas-luasnya untuk memasuki politeknik dan pusat pengajian tinggi lain serta pusat-pusat latihan? Adakah pelajar lepasan sekolah mempunyai persediaan yang mencukupi untuk memasuki pasaran buruh dalam kurun ke 21? Adakah sekolah mempunyai matlamat untuk memenuhi keperluan majoriti pelajar dengan mempamerkan pendekatan dan pembelajaran yang berkesan? Adakah pelajar mempunyai pengetahuan tentang pelbagai jenis karier yang membolehkan mereka memilih karier yang diminati?

Langkah-Langkah Pembelajaran Kontekstual

Dalam menjelaskan strategi pembelajaran kontekstual ini dapat diringkaskan seperti dalam rajah di bawah yang dilasanakan berdasarkan kepada modul ASSURE yang diperkenalkan oleh Heinich (1982). Berdasarkan kepada rajah 2 di bawah, langkah pertama dalam melaksanakan strategi kontekstual ialah guru perlu menilai keperluan dan masalah yang dihadapi oleh murid. Contohnya pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran terhadap murid tahun 2. Dalam usaha untuk memilih media dan teknologi terbaik untuk digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, setiap tenaga pendidik perlu menyesuaikannya dengan ciri-ciri yang ada dalam diri pelajar, kandungan pengajaran yang disesuaikan dengan kemampuan pelajar serta kaedah, bahan dan media pengejaran yang bersesuaian dengan penerimaan pelajar. Contohnya ciri pelajar yang harus dilihat adalah dari sudut tahap kelemahan dan kemampuan mereka, latar belakang, peringkat umur, sosio-ekonomi pelajar dan seumpamanya yang mana akan mempengaruhi prestasi akademik pelajar.

Rajah 2 : Model Pembelajaran ASSURE

Selepas itu, guru harus menentukan matlamat yang ingin dicapai dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang akan dilaksanakan. Penyataan objektif merujuk kepada matlamat yang ingin dicapai dalam sesuatu aktiviti pengajaran yang dirancang. Penyataan objektif ini adalah perlu sebagai panduan bagi setiap pengajar dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang agar ianya tidak menyimpang dari matlamat asalnya. Dalam masa yang sama juga, ianya juga sebagai panduan kepada pengajar untuk membantu pelajar mempelajari sesuatu yang baru khususnya yang berkaitan dengan teknologi dalam pendidikan. Matlamat utama pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini adalah untuk melihat kemampuan murid menyelesaikan sesuatu soalan dan membantu mereka untuk menguasai formula atau topik berkenaan dengan baik khususnya yang berkaitan dengan penguasaan dan penggunaan formula yang berkaitan. 

Seterusnya, guru perlu memilih kaedah pengajaran yang sesuai dengan keperluan dan masalah yang dihadapi oleh murid. Pemilihan kaedah, media dan bahan merupakan tiga perkara yang berbeza yang mana menjadi penggerak utama dalam mencapai objektif yang telah dinyatakan. Pemilihan kaedah pengajaran merujuk kepada strategi yang akan digunakan oleh pendidik dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seperti kaedah Direktif di mana pelajar belajar melalui penerangan tentang konsep atau kemahiran yang disampaikan oleh guru dan kemudiannya diikuti dengan ujian kefahaman dan latihan dengan bimbingan guru. Contohnya seperti melalui kuliah da latih tubi. Pemilihan kaedah pengajaran ini perlulah selaras dengan kemampuan dan ciri-ciri pelajar yang akan dijadikan peserta dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang akan dijalankan.

Media dan bahan pula merujuk kepada perantara komunikasi antara guru dan pelajar. Ianya meliputi segala bentuk sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada guru atau pengirim kepada pelajar atau penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat dan perhatian pelajar. Namun begitu, pemilihan media perlulah selaras dan sesuai dengan keperluan pengajaran. Memandangkan pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini adalah untuk melihat perubahan tingkah laku di kalangan pelajar khususnya yang berkaitan dengan kemampuan dan minat murid yang dapat dibentuk terhadap sesuatu subjek, maka media dan bahan yang akan digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan direka sendiri oleh guru. Beberapa yang berkaitan dengan topik perbincangan akan diberikan kepada murid. Soalan-soalan yang dibentuk ini akan dilaksanakan secara berperingkat yang bermula dari soalan tahap mudah sehinggalah kepada soalan tahap sukar. Berikut adalah beberapa soalan yang akan diberikan kepada murid yang terdiri daripada pelbagai peringkat kesukaran soalan yang terdiri daripada soalan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Kursus Perisian Interaktif

Pedretti (1999) dalam kajiannya menunjukkan bahawa guru yang bijak mengaplikasikan komputer dan bahan bantu belajar yang lain mampu membuat pelbagai pembaharuan dalam menjalankan tugasnya sebagai perantara keilmuan kepada sasarannya. Seterusnya seorang lagi pengkaji yang bernama Cox (1999), telah menyatakan bahawa guru-guru yang sering menggunakan komputer dan bahan bantu belajar yang lain dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mengunakan ICT dan lain-lain bahan bantu belajar seperti projektor, LCT CD dan sebagainya. Hal ini adalah kerana mereka percaya bahawa penggunaan alat berteknologi seperti ini dapat meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih menarik, mudah dan lebih seronok.

Daripada kajian yang telah dilakukan oleh beberapa orang pengkaji akademik jelas menunjukkan bahawa penggunaan komputer dan bahan bantu belajar seperti cakera padat interaktif pendidikan banyak memberikan manfaat dan kepentingan yang tidak hanya kepada pelajar secara keseluruhannya, malah turut memberikan manfaat kepada guru khususnya dalam aspek peningkatan kemahiran dan pengetahuan berkenaan dengan penggunaan komputer. 

Perisian dibina dengan tujuan untuk menghasilkan persekitaran kaya maklumat bagi memberi peluang kepada pelajar untuk ‘browse’ dan menjelajahinya. Terdapat banyak tajuk-tajuk CD-ROM di pasaran yang boleh digunakan untuk memperkayakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Dalam menggunakan pelbagai bentuk bahan bantu belajar terutamanya cakera dapat (CD) interaktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran, CD tersebut perlu memiliki beberapa aspek interaktif bagi menjadikannya lebih efektif dan berguna dalam membantu pelajar untuk meningkatkan minat dan pengetahuan mereka terhadap bidang keilmuan. Oleh yang demikian, CR Rom Bahasa Melayu Tahun 2 dijadikan yang melibatkan tajuk penjodoh bilangan dijadikan sebagai bahan kajian untuk melihat aspek-aspek interaktif yang ada dalam CD berkenaan. Ciri-ciri yang perlu ada dalam perisian kursus Multimedia dalam Pendidikan adalah seperti gambar, bunyi, suara, animasi, teks dan video. Keenam-enam elemen ini adalah perlu dalam menjadikan persekitaran pembelajaran menjadi lebih interaktif.

Gambar atau grafik adalah salah satu elemen yang penting dalam sesebuah CD Rom pembelajaran interaktif. Unsur-unsur ini digunakan untuk menarik minat pelajar untuk mengetahui kandungan CD Rom tersebut. Berdasarkan kepada CD Rom Bahasa Melayu Tahun 2 yang dikaji, CD pembelajaran ini banyak mengandungi unsur-unsur grafik yang tidak hanya terdiri daripada grafik statik. Sebaliknya turut mengandungi grafik-grafik yang bergerak. Contohnya seperti penggunaan unsur ‘burung yang hinggap di dahan pokok’ yang boleh bergerak dan terbang seperti mana yang terdapat dalam CD pembelajarn tersebut. Kelebihan yang terdapat dalam CD Rom ini adalah penggunaan pelbagai bentu grafik seperti haiwan, komik, tumbuhan dan sebaginya dengan pelbagai warna dan corak yang menghiburkan. Secara keseluruhannya, penggunaan elemen grafik dalam CD Rom adalah baik dan mampu membentuk minat dan merangsang minda pelbelajaran murid-murid.

Unsur bunyi adalah antara aspek yang boleh menggambarkan keinteraktifan sesebuah media mengajar. Kajian yang dijalankan oleh Wan Noraini mengenai integrasi multimedia dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Daripada analisis yang dijalankan oleh beliau mandapati bahawa menyelitkan unsur bunyi-bunyian, suara dan muzik. Dalam kajian beliau, kesemua unsur ini adalah suatu yang dapat merangsang minda dan perkembangan murid dalam mempelajari sesuatu. Dalam pada itu, 24% daripada keseluruhan respondan yang dikaji juga menyatakan bahawa mereka tahu merakan suara menerusi penggunaan komputer dan cakera padat. Dalam erti kata yang lain, kepentingan ketiga-tiga unsur ini iaitu bunyi, suara dan muzik adalah antara aspek penting dalam membentuk sebuah cakera padat interaktif yang dapat membantu pelajar dalam meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mereka terhadap sesuatu ilmu pembelajaran. 

Berdasarkan kepada CD Rom Bahasa Melayu Tahun 2 yang dikaji, ketiga-tiga elemen ini turut terkandung dalam cakera padat pembelajaran tersebut. Unsur bunyi meliputi bunyi haiwan yang dimuatkan dalam CD terseut seperti bunyi burung, sungai dan sebagainya. Sementara itu, unsur suara juga terkandung dalam CD berkenaan. Contohnya unsur suara yang terkandung dalam CD berkenaan ialah ‘selamat datang ke pembelajaran Bahasa Melayu Tahun 2 Sekolah Kebangsaan’ yang disuarakan apabila permulaan pembelajaran sebelum pelajar dikehendaki memasuki ke bahagian yang seterusnya. Contoh lain ialah pengeluar memasukkan suara yang menerangkan arahan kepada soalan. Contohnya ‘klik butang bunyi untuk mendengar petikan’ yang dimasukkan dalam ruangan soalan. Apabila pelajar mengikuti arahan ini iaitu dengan menakan butang ‘bunyi’, maka CD tersebut akan menceritakan atau menyebutkan petikan cerita sebelum mengkehendaki pelajar menjawab soalan yang diberikan. 

Selai daripada unsur suara dan bunyi, CD ini juga turut mengandungi unsur muzik di mana muzik akan kedengaran bermula daripada permulaan frame hingga ke frame yang terakhir. Walau bagaimanapun, wujud masalah apabila muzik yang dimasukkan menenggelamkan suara. Dalam erti kata lain, muzik yang dimasukkan dalam CD ini adalah lebih kuat berbanding unsur suara yang akan memberikan arahan kepada pengguna, membacakan soalan-soalan, menceritakan petikan gambar dan seagainya. Keadaan ini menyebabkan pengguna akan mengalami untuk mendengar dengan jelas setiap ungkapan suara yang keluar daripada CD berkenaan. Oleh yang demikian, pihak pengeluar sepatutnya mengurangkan nada muzik dan meninggikan nada suara agar pengguna boleh mendapat manfaat daripada CD pembelajaran tersebut.

Animasi dan gerakan adalah ciri interaktif yang wujud dalam CD Rom Bahasa Melayu Tahun 2 yang dikaji. Salah satu animasi yang wujud dalam CD tersebut ialah dalam tajuk ‘Keluarga Aisyah’ di mana wujud perbualan antara ahli keluarga Aisyah. Selain daripada perbualan tersebut, Aisyah. Ibu, bapa dan adiknya turut menunjukkan beberapa gerakan seperti Aisyah berjalan, ibu Aisyah yang sedang menjahit, ayah Aisyah yang sedang menonton televeisyen dan adik Aisyah yang sedang bermain. Pergerakan atau animasi yang diselitkan dalam CD membawa pelajar seperti menonton sebuah cerita komik dalam televisyen. Dalam erti kata lain, pelajar seolah-olah sedang mengikuti satu cerita komik walaupun pada hakikatnya mereka sedang belajar. Penekanan konsep seperti ini adalah selaras dengan matlamat pembelajaran pada peringkat awal itu berhibur sambil belajar di mana hiburan adalah elemen pertama dalam menarik minat belajar pelajar. 

Animasi lain yang turut dimuatkan dalam animasi ini ialah pergerakan burung yang memberikan arahan kepada pelajar berkenaan dengan sesuatu topik. Contohnya dalam topik ‘Keluarga Aisyah’. Sebelum pelajar dapat mengikuti perbualan antara ahli keluarga Aisyah, burung dalam CD ini yang disuarakan dengan suara manusia akan memberikan arahan kepada pelajar untuk melakukan sesuatu tindakan iaitu menekan butang ‘suara’ bagi mengikuti perbualan antara ahli keluarga Aisyah. Dalam keadaan ini, peranan burung tersebut adalah seperti seorang pendidik dalam memberikan arahan kepada pelajar. Penggunaan haiwan seperti burung ini bertujuan untuk merangsang tindakan kanak-kanak kerana sifat mereka yang sukakan kepada haiwan seperti burung. Daripada ciri-ciri gerakan dan animasi ini, jelas menunjukkan bahawa CD pembelajaran ini sangat menitik beratkan elemen-elemen hiburan seperti komik yang menjadi ikutan dan minat kepada kebanyakan kanak-kanak.

Antara elemen lain yang wujud dalam CD Rom Bahasa Melayu Tahun 2 ini ialah kandungan teks yang ringkas dan mudah untuk difahami oleh pelajar. Sifat teksnya yang sederhana juga membolehkan pelajar melihatnya dengan jelas. Dalam pada itu, teks yang dimuatkan dalam CD ini juga mempunyai pelbagai warna dan bentuk. Pencirian teks yang pelbagai ini dan berwarna warni ini membuktikan bahawa pengeluar sangat mementingkan keceriaan kerana aspek-aspek seperti ini akan memberikan satu suasana pembelajaran yang ceria dan menghiburkan tanpa memberikan sebarang tekanan kepada pelajar dalam menuntut ilmu.

Untuk menjadikan sesebuah CD pembelajaran interaktif itu menjadi lebih menarik dan menghiburkan, unsur video juga sepatutnya dimuatkan dalam sistem pembelajaran interaktif tersebut. Walau bagaimanapun, dalam CD Rom Bahasa Melayu Tahun 2 yang dikaji, tidak terdapat satu pun elemen video. Video adalah tayangan yang dirakam daripada satu situasi sebenar dan dimutkan dalam CD pembelajaran sebagai suatu perkara yang boleh membawa pelajar kepada alam realiti kehidupan. Walaupun pelajar sedang belajar, namun sesuatu video yang dimuatkan dalam sesuatu CD pembelajaran akan memberikan motivasi kepada untuk mengikuti tau mencontohi nilai-nilai moral yang terdapat dalam video tersebut. Adalah menjadi sifat kanak-kanak untuk menjadikan sesuatu watak itu sebagai ikutan mereka seperti mana watak-watak komik yang dipertontonkan di kaca televisyen. Dengan memasuki elemen video ini ke dalam CD pembelajaran, ianya akan lebih menyeronokkan pelajar untuk menuntut ilmu dan mempelajari setiap kandungan CD pembelajaran tersebut.

Dalam mengendalikan bahan bantu mengajar, berikut adalah beberapa panduan penggunaan kepada pengguna untuk memudahkan pengendalian bahan bantu mengajar ini. Terdapat beberapa kategori halaman yang mempunyai beberapa ciri penerokaan yang berbeza seperti mana yang dapat diperhatikan di bawah:-

Halaman Utama

Halaman utama bagi bahan bantu mengajar ini terdiri daripada dua halaman iaitu halaman utama seperti mana yang terdapat dalam rajah 1 di baawah dan halaman kandungan seperti mana yang terdapat dalam rajah 2 di bawah:-

Rajah 1 : Halaman Utama

Apabila pengguna memasuki atau membuka bahan bantu belajar ini untuk tujuan pembelajaran, pengguna akan dipapatkan dengan halaman ini di mana pengguna perlu mengklik butang ‘Enter’ bagi membawa pengguna ke halaman berikutnya iaitu halaman kandungan seperti mana yang terdapat dalam rajah 2 di bawah.

Rajah 2 : Halaman Utama (Kandungan)

Halaman kedua ini adalah halaman yang memaparkan senarai kandungan pembelajaran dan mengandungi lapan butang yang utama seperti mana yang dapat dijelaskan dalam jadual 1 di bawah:-

Jadual 1 : Penerangan Butang Pada Halaman Utama

Halaman Kandungan Pembelajaran

Rajah 3 : Halaman ‘Kata Nama Am’

Rajah 4 : Halaman ‘Kata Nama Khas

Rajah 5 : Halaman ‘Kata Nama Terbitan’

Rajah 6 : Halaman ‘Kata Ganti Nama’

Halaman kandungan pembelajaran ini bermula pada halaman ke-3 sehinggalah halaman ke-13 yang mempunyai sembilan butang yang serupa pada setiap halaman seperti mana yang dijelaskan dalam jadual 2 di bawah:-
Jadual 2 : Penerangan Butang Pada Halaman Kandungan Pembelajaran

Rajah 7 : Halaman Latih Tubi

Halaman ini mempunyai beberapa tambahan butang yang perlu dipilih oleh pengguna iaitu butang pilihan soalan dan pilihan jawapan seperti mana yang diterangkan dalam jadual 3 di bawah:-

Jadual 3 : Penerangan Butang Pada Halaman Pilihan Soalan

Rajah 8 : Jawapan Betul Diberikan

Rajah 9 : Jawapan Salah Diberikan

Halaman Keluar

Rajah 10 : Halaman Menamatkan Program Pembelajaran

Pada halaman ini, terdapat dua butang utama yang akan dipaparkan seperti mana yang dijelaskan dalam jadual 4 di bawah:-

Jadual 4 : Penerangan Butang Pada Halaman Menamarkan Program Pembelajaran

Kesimpulan

Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah sangat memerlukan banyak inisiatif daripada guru khususnya dalam merancang sesuatu aktiviti pembelajaran yang dapat diterima oleh setiap murid yang akan dilibatkan. Perancangan pada peringkat awal dilihat sebagai suatu elemen yang akan dapat membantu guru untuk membantu murid menguasai sesuatu perkara atau topik pembelajaran khususnya bagi topik yang sukar dikuasai. Dalam menyelesaikan masalah seperti ini, guru perlu bijak dalam menyusun dan merangka setiap bahan dan media yang akan diaplikasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajara. Kebijaksanaan guru juga perlu dalam merangsang dan mendorong minat murid untuk terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah. 

Dengan adanya kerjasama antara guru dan murid khususnya dalam pelaksanaan setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat dibantu memahami dan menguasai sesuatu topik dengan lebih baik dan berkekalan. Tunjuk ajar yang diberikan oleh guru akan dapat membantu murid menyelesaikan soalan yang sama dengan mudah dan dapat digunakan untuk menyelesaikan soalan lain yang berkaitan dengan topik yang telah dipelajari.  Secara ringkasnya, perancangan yang dilakukan oleh guru akan dapat membentuk tingkah laku yang positif dan berkekalan dalam diri murid khususnya dalam usaha untuk membantu mereka memahami dan menguasai sesuatu topik pembelajaran. dalam masa yang sama juga, murid juga perlu memberikan kerjasama dalam setiap aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan agar murid ini dapat dibantu menguasai sesuatu topik dengan lebih efektif dan baik.


Bibliografi

Baharudin Husin (2005). Kesediaan Guru Menggunakan Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Menengah Daerah Pasir Putih. Seminar Penyelidikan Pendidikan Guru Kebangsaan 2005, Kota Kinabalu, 1-3 Ogos, Anjuran Bahagian Pendidikan Guru

Nani binti Menon (2001). Pengajaran dan Pembelajaran Awalan Sains dan Penerapan Pemikiran Saintifik dalam Pendidikan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Universiiti Malaysia Putera Malaysia. Selangor

Nor Iadah Yusop (1995). Ceramah yang bertajuk Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. IPDA, Jitra

P. A. Brett dan M. Nash (1998). Multimedia Language Learning Courseware: a design Solution ti the production of a series of CD-ROMs. Journal of Computer and Education. 32. 19-33.

Walter Oleksy (1995). The Information Revolution: Education & Learning. Facts On File, Inc, New York

Bahasa Melayu Aplikasi ICT Kontekstual

Bahasa Melayu Aplikasi ICT Kontekstual